[FMT] Cenbet selar ahli politik lengahkan bentang akta pendanaan politik

Cenbet selar ahli politik lengahkan bentang akta pendanaan politik | Free Malaysia Today (FMT)

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan masyarakat sivil menggesa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dengan mengatakan, wujud ketidaksediaan dari segi kemahuan politik kedua-dua pihak untuk menggubal akta pendanaan politik.

Persatuan Center For A Better Tomorrow (Cenbet) berkata, rang undang-undang pendanaan politik tidak boleh ditangguhkan lagi kerana ia penting bagi mengurangkan berlakunya pengubahan wang haram, campur tangan asing dan risiko keselamatan berkaitan dana politik.

“Jelas sekali, terdapat ketidaksediaan dari segi kemahuan politik untuk melaksanakan rang undang-undang antara kedua-dua belah pihak.

“Sudah tentu kami mendesak supaya rang undang-undang ini segera dibentangkan dan diluluskan di Parlimen memandangkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semakin hampir,” kata Presiden bersama Gan Ping Sieu dalam satu kenyataan.

Gan yang juga bekas timbalan menteri belia dan sukan menegaskan, Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan mengenai pembiayaan politik telah mengemukakan cadangan akta derma dan perbelanjaan politik pada 2016.

Beliau berkata, draf akta telah disiapkan pada 2017.

Beliau menambah, tanpa undang-undang itu, derma politik adalah sah sepenuhnya melainkan ia melibatkan penyalahgunaan kuasa atau konflik kepentingan.

“Saya berpandangan bahawa alasan di sebalik membantah dan menangguhkan pengenalan akta pendanaan politik adalah kerana pentingkan diri sendiri,” katanya.

“Tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang, termasuk penggubal undang-undang.”

Bulan lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pencegahan Rasuah pada dasarnya bersetuju dengan rang undang-undang pendanaan politik.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibincangkan dengan Kabinet sebelum melibatkan parti politik.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *